Wednesday, April 28, 2010

Kisah Zulaiha

Berat sungguh malam yang panas itu dirasakan oleh
Ra'il, wanita cantik yang biasa dipanggil dengan nama
Zulaiha. Ia senantiasa
mempercantik paras, menghias diri, dan memakai
wangi-wangian. Kemudian berdiri, pagi dan petang, di
beranda istananya di atas
Sungai Nil, dalam kegelisahan yang tak jelas
penyebabnya.
Angin sepoi bertiup tenang dan halus, seakan enggan
mengusik ranting-ranting pohon bunga yang mengelilingi
beranda istana
itu, Zulaiha memandangi sungai dan airnya yang tenang,
dan sesekali wajahnya menoleh ke atas, melihat
bintang-bintang yang
bertaburan di langit nan tinggi, mengelilingi bulan
yang sebahagian sinarnya terhalang oleh awan.
Sesaat kemudian, seorang pelayan menghampiri dengan
segelas sari buah dingin untuknya, tetapi sang puteri
menolak dan malah
memerintahkan pelayan itu untuk kembali. Nafasnya
semakin menyesakkan, serasa hampir-hampir mencekik
lehernya. Dia sendiri tidak
tahu apa yang digelisahkannya. Kecantikan? Bukan! Dia
wanita tercantik di seluruh Mesir. Anak? Mungkin itu
benar, sebab sampai
saat ini ia belum dikurniai seorang anak pun.
Sebenarnya ia dapat saja mengambil anak angkat yang
disukainya, sebab ia orang terkaya di negeri itu. Tapi
naluri keibuannya
ternyata menentang niatnya. Dia ingin mengandung dan
melahirkan puteranya sendiri, sebagaimana wanita-wanita
lain. Tapi suratan
takdir menghendaki lain, suaminya tidak kuasa mengubah
impiannya menjadi kenyataan.
Berkecamuklah semua fikiran itu di kepalanya. Ia
terlena dalam lamunannya, sampai suara halus suaminya
tiba-tiba mengejutkan
hatinya.
"Ra'il, isteriku yang cantik, bergembiralah!" Kata
suaminya sambil menunjukkan sesuatu.
Zulaiha menoleh kepada suaminya, dan betapa terkejut
ketika ia lihat suaminya datang bersama seorang anak
kecil.
"Siapa namamu?" tanya Zulaiha. Dengan suara yang
hampir-hampir tidak terdengar, anak itu menjawab,
"Yusuf".
Al-Aziz, suami Zulaiha, kemudian mengikutinya dari
belakang serta berkata, "Telah kubeli ia dari kafilah
yang didapati disebuah
telaga di padang pasir. Berikanlah kepadanya tempat
(dan layanan) yang baik, boleh jadi ia bermanfaat bagi
kita, atau kita pungut ia
sebagai anak".
Isteri al-Aziz tidak mengetahui takdir apa yang bakal
terjadi antara dia dan anak itu di hari-hari yang akan
datang. Yang jelas ia
merasa senang atas kedatangan anak itu, dan hilanglah
kesedihan yang selama ini menghimpit dadanya.
Hari-hari berlalu. Yusuf semakin besar dan menjadi
dewasa. Wajahnya tampak semakin tampan. Isteri Aziz
tidak mengerti kebahagiaan
apa yang meresap di hatinya setiap kali ia memandang
Yusuf, dan kesedihan yang menghantuinya ketika Yusuf
hilang dari
pandangannya.
Setiap kali malam tiba, dan Yusuf pergi ke kamar
tidurnya, Zulaiha merasa ada sesuatu yang mengusik
lubuk jiwanya, sehingga
kadang kala ia bangun meninggalkan suaminya yang sedang
tidur, kemudian pergi ke pintu kamar Yusuf. Zulaiha
berdiri di pintu
kamar Yusuf beberapa saat. Dalam hatinya timbul
keraguan: apakah sebaiknya ia masuk menemui Yusuf
seperti yang diinginkannya,
ataukah ia kembali ke tempatnya sendiri di samping
suaminya.
Fikiran seperti itu selalu mengganggu hatinya
semalaman, sampai cahaya matahari pagi terlihat masuk
melalui jendela-jendela
kamarnya. Jika sudah demikian, ia kembali ke kamar
suaminya.
Setiap kali pandangannya bertemu dengan pandangan
Yusuf, ia merasakan keinginan yang kuat untuk selalu
berada dekat pemuda
itu, dan tak ingin rasanya berpisah untuk
selama-lamanya. Namun, hati kecilnya berkata bahawa
Yusuf tidak memendam perasaan
yang sama seperti perasaannya. Pertanyaan yang selalu
mengusik kalbunya adalah: Apakah Yusuf mencintainya
sebagaimana ia
mencintai Yusuf? Apakah Yusuf memendam perasaan seperti
yang dipendamnya? Meskipun hati kecilnya berkata bahawa
Yusuf tidak
menampakkan sikap seperti itu, ia tidak mahu mendengar
jawapan itu.
Pada suatu petang, isteri Aziz merasa tidak kuasa lagi
hanya berdiri di ambang cinta yang disimpannya kepada
Yusuf. Ia kemudian
berdiri dimuka cermin, mengagumi kecantikan parasnya,
seraya berkata kepada dirinya sendiri, "Adakah, di
seluruh Mesir ini, wanita
yang kecantikannya melebihi kecantikanku, sehingga
Yusuf menghindar dariku? Tidak boleh tidak, wahai,
Yusuf, hari ini aku akan
menjumpaimu dengan segala macam bujukan dan rayuan,
sampai engkau tunduk kepadaku".
Kemudian ia membuka lemari, dan matanya mengamati
setumpuk pakaian di dalamnya. Dipilihnya salah satu
gaunnya yang paling
indah, berwarna merah dengan model yang membangkitkan
ghairah laki-laki. Manakala gaun itu dikenakan, maka
sebahagian
auratnya yang seharusnya tersembunyi akan tampak.
Itulah yang justeru dikehendakinya. Kemudian ia memakai
wangi wangian di
sekujur tubuhnya, yang menyebabkan seorang lelaki akan
berghairah kerana baunya.
Setelah itu, ia atur rambutnya seindah-indahnya di
malam yang sunyi itu. Setelah menyelesaikan dan
menyempurnakan
dandanannya, Zulaiha mengamati sekelilingnya, hingga ia
benar-benar yakin bahawa tidak ada seorang pun
pelayannya yang masih
menunggunya di situ; semuanya sudah lelap di kamarnya
masing-masing di kegelapan malam itu. Ia pun tahu
bahawa suaminya
sedang memenuhi panggilan seorang hakim Mesir dan sibuk
dengan urusan-urusannya, sehingga tidak mungkin ia akan
kembali
sebelum fajar pagi tiba.
Setelah segalanya beres, pergilah ia menuju kamar
Yusuf. Didapatinya pintu kamar itu tertutup dan
lampunya sudah dimatikan.
Dengan perlahan ia mengetuk; satu kali, dua kali ...
dan tiga kali. Tak lama kemudian, Yusuf pun bangun
menyalakan lampu dan
membukakan pintu. Alangkah terkejutnya Yusuf ketika ia
melihat isteri al-Aziz sudah berada di hadapannya. Tapi
ia tidak berkata
apa-apa kecuali hanya diam menunduk.
Tiba-tiba Zulaiha masuk ke dalam, mendekatinya dengan
ramah, dan memegang tangannya sambil menutup pintu
kamar. Zulaiha
merasakan kegelisahan, ketakutan, dan tak boleh
menjawab pandangan kedua mata Yusuf. Ia lalu berpaling
ke arah Yusuf, sedangkan
Yusuf selalu berusaha menjauh darinya.
Isteri al-Aziz kemudian berkata, "Apakah maksud semua
ini, hai, Yusuf? Janganlah engkau menjauh dariku,
sehingga aku binasa
kerana rindu kepadamu".
Yusuf diam tanpa jawapan.
Isteri al-Aziz mendekatinya lagi seraya berkata,
"Aduhai, Yusuf, betapa indahnya rambutmu!"
Yusuf menjawab, "Inilah sesuatu yang pertama kali akan
berhamburan dari tubuhku setelah aku mati".
"Aduhai, Yusuf, betapa indahnya kedua matamu!" Bujuk
isteri al-Aziz lagi.
"Keduanya ini adalah benda yang pertama kali akan lepas
dari kepalaku dan akan mengalir di muka bumi!"
Isteri al-Aziz berkata lagi, "Betapa tampannya wajahmu,
hai, Yusuf".
"Tanah kelak akan melumatnya," Jawab Yusuf.
Kemudian Zulaiha berkata kepadanya, "Telah terbuka
tubuhku kerana ketampanan wajahmu".
"Syaitan menolongmu untuk berbuat hal itu!" Kata
Yusuf.
"Yusuf! Bagaimanapun aku harus mendapatkan apa yang
selama ini kudambakan, dan kini aku datang kerananya".
Kata Zulaiha.
Yusuf menjawab: "Ke manakah aku akan lari dari murka
Allah jika aku menderhakaiNya?"
Sedarlah isteri al-Aziz bahawa Yusuf benar-benar tidak
mahu memenuhi apa yang ia inginkan. Maka, ia pun lebih
mendekat lagi,
dan meletakkan badan Yusuf di atas dadanya. Ia berharap
Yusuf akan tertarik kepadanya dan mahu memenuhi
keinginannya. Akan
tetapi, di luar dugaannya, Yusuf malah menghindar
darinya dan segera berlari hendak keluar dari kamar
itu.
Isteri al-Aziz tak habis berfikir mengapa Yusuf
sedemikian keras mempertahankan kesuciannya di hadapan
wanita cantik yang telah
siap melayaninya, bahkan lari menjauh darinya. Ia lalu
mengejar Yusuf dari belakang untuk memaksanya. Ketika
sudah sangat dekat,
dipegangnyalah bahagian belakang baju Yusuf dan
ditariknya kuat-kuat. Dengan penuh kemarahan, ia
melarang Yusuf keluar dari
kamar. Akhirnya, koyaklah bahagian belakang baju
Yusuf.
Pada saat yang sama, tiba-tiba al-Aziz sudah berada di
hadapan mereka berdua, bersama saudara sepupu Zulaiha.
Dengan serta
merta isteri al-Aziz berkata: "Apakah hukuman bagi
orang yang akan berbuat serong kepada isterimu, selain
dipenjarakan atau
(dihukum) dengan seksaan yang pedih?" Dengan perkataan
itu, Zulaiha bermaksud menyatakan bahawa Yusuf telah
berbuat yang
melampaui batas atas dirinya.
Al-Aziz sangat marah atas terjadinya peristiwa
memalukan itu. Kerana tidak menduga hal itu dilakukan
oleh Yusuf, seorang anak
terlantar yang telah dibelinya, dipeliharanya, dan
dikasihinya seperti kasih sayang seorang ayah kepada
puteranya sendiri. Tidak
mungkin hal itu boleh terjadi?
Yusuf sedar bahawa isteri al-Aziz telah berkata dusta
tentang dirinya dan menuduhnya dengan tuduhan palsu.
Maka, segeralah
Zulaiha berkata kepada al-Aziz: "Dia menggodaku untuk
menundukkan diriku (kepadanya)".
Allah ternyata menghendaki bebasnya Yusuf dari tuduhan
wanita itu. Seorang bayi yang masih menyusu, anak salah
seorang keluarga
Zulaiha yang ketika itu datang ke istana, tiba-tiba
berkata, "Jika bajunya koyak di bahagian muka, maka
wanita itulah yang benar
dan Yusuf termasuk orang-orang dusta. Dan jika bajunya
koyak di bahagian belakang, maka wanita itulah yang
dusta dan Yusuf
termasuk orang-orang yang benar".
Mendengar itu, segeralah al-Aziz menghampiri Yusuf
untuk melihat bajunya. Demi didapatinya baju Yusuf
koyak di bahagian
belakang (kerana tarikan isterinya), mengertilah
al-Aziz akan pengkhianatan isterinya dan bersihnya
Yusuf dari tuduhan itu. Kemudian
ia berkata: "Sungguh, inilah tipu muslihatmu. Sungguh
dahsyat tipu muslihatmu!"
Kemudian ia memandang Yusuf seraya berkata: "Hai,
Yusuf, berpalinglah dari ini!" Maksud perkataan itu
adalah agar Yusuf tidak
memberitakan aib yang terjadi atas diri isterinya itu,
sehingga tidak terdengar oleh orang ramai. Sedangkan
kepada isterinya ia
berkata: "Dan (kamu, hai isteriku) mohon ampunlah atas
dosamu itu, kerana sesungguhnya kamu termasuk
orang-orang yang berbuat
salah".
"Celakalah kamu, Yusuf!" Kata isteri al-Aziz dengan
kemarahan yang memuncak, kerana Yusuf menolak
kecantikan dan kebesarannya.
"Tidak! aku tak akan membiarkanmu, Yusuf. Bagaimana pun
akan kucari jalan lain yang dapat mempedayakanmu,
hingga kamu
memenuhi apa yang kukehendaki..."
Hari-hari pun berlalu, dan al-Aziz yang kalah dalam
urusan itu berusaha memohon kerelaan isterinya
menghadapi kenyataan itu,
sementara sang isteri menyanggahnya dengan dalih bahawa
suaminya telah menjatuhkan martabat dan kemuliaannya.
Zulaiha tahu
benar bahawa setiap kali ia menampakkan kebenciannya
kepada suaminya, sang suami benar-benar berusaha
mendekati dan
membujuknya kerana ia sangat mencintainya dan merasa
lemah di hadapan kecantikan wajahnya dan ketinggian
peribadinya, yang
sebenarnya bersifat mulia.
Yusuf sendiri akhirnya berdiam sepanjang hari di dalam
kamarnya, kerana peristiwa aib itu terjadi di situ. Ia
tidak keluar dari
kamarnya kecuali ada suatu pekerjaan penting yang
ditugaskan oleh tuannya, al-Aziz.
Hari-hari yang berat dan keras selalu menghantui isteri
al-Aziz. Ia menanti datang suatu peluang untuk kembali
melakukan tipu
dayanya atas diri Yusuf, sebab apa yang baru terjadi
itu justeru menambah rasa cinta dan keinginan untuk
berhubungan dengan
Yusuf, meskipun secara terang-terang ia telah berdusta
atas diri Yusuf untuk menghilangkan keraguan suaminya
terhadapnya.
Hari demi hari dirasakan oleh isteri al-Aziz dengan
berat dan terasa lambat berjalan. Di kota, beberapa
peristiwa yang tak terduga
telah terjadi. Wanita-wanita di Mesir, ketika itu,
tidak berkeinginan bicara lain kecuali tentang
peristiwa aib antara isteri al-Aziz dan
Yusuf. Yang sungguh menghairankan, bagaimana peristiwa
itu dapat tersebar di seluruh kota, padahal semua pihak
di istana al-Aziz
berusaha merahsiakannya.
Dugaan sementara dialamatkan kepada pelayan laki-laki
istana dan sebahagian pelayan wanita yang masih ada
hubungan keluarga
dengannya. Besar kemungkinan, merekalah yang
membocorkan rahsia itu.
Langit ibu kota Mesir penuh dengan gema kisah sekitar
kejadian itu. Dalam setiap kelompok wanita, tidak ada
masalah lain yang
dibicarakan kecuali tentang isteri al-Aziz dan Yusuf,
semuanya dicurahkan tanpa segan silu.
Akhirnya, sampailah berita yang menyakitkan itu ke
telinga isteri al-Aziz. Dan tentu saja hal itu
menimbulkan kemarahannya yang luar
biasa.
Akan tetapi, apa hendak dikata, ia tidak dapat berbuat
apa-apa kecuali menerima kenyataan itu dengan hati yang
semakin pedih.
"Betapa perjalanan hidupku menjadi sepotong roti dalam
mulut wanita-wanita kota yang dipenuhi cemuhan dan
ejekan." Keluhnya
dalam hati, "padahal, di hari-hari kemarin, tak
seorangpun dari mereka berani menyebut namaku kecuali
dengan segala penghormatan
dan kemuliaan".
Kemudian ketenangan mulai meresap di hati isteri
al-Aziz, setelah jiwanya tergoncang kerana kemarahan.
Mulailah ia berbicara
kepada dirinya sendiri:" Aku wanita, dan mereka pun
wanita. Harus mereka terima hinaan sebagaimana hinaan
yang mereka tujukan
kepadaku. Jika mereka memperolok-olokku dengan
lidahnya, maka sesungguhnya olok-olokku nanti lebih
keras atas diri mereka..."
Maka, keluarlah dia dari kamarnya menuju beranda
istananya yang menghadap Sungai Nil.
Di tepian sungai itu, ia mulai berfikir, sementara
angin lembut menerpa pepohonan bunga yang mengelilingi
istana, membuat
harum udara di sekitarnya. Isteri al-Aziz mulai
merenung; fikirannya berputar ke sana kemari, mengikuti
alunan ombak sungai yang
tenang.
Tak lama kemudian, wajahnya tampak sedikit berseri,
kemudian mulutnya tersenyum. Telah ditemukan satu cara
untuk
membereskan masalah itu. Ya, mengapa ia tidak
menghentikan cemuhan wanita-wanita itu tentang dirinya
dan Yusuf dalam suatu
pertemuan terbuka? Mengapa ia tidak memanggil
wanita-wanita itu untuk duduk bercakap-cakap seperti
biasa ia lakukan sebelum ini,
lalu ia perintahkan Yusuf keluar (menampakkan diri di
hadapan mereka)? Nanti mereka akan sedar dan mengerti
mengapa isteri al-Aziz
jatuh hati kepada anak angkatnya.
Kemudian dipanggilnya semua wanita itu ke istana untuk
bersukaria. Kepada mereka dipersembahkan berbagai
macam
buah-buahan, dan masing-masing diberi sebilah pisau
sebagai alat pemotongnya. Akan dilihat oleh isteri
Al-Aziz apa yang nanti bakal
terjadi ketika Yusuf muncul secara tiba-tiba di
tengah-tengah mereka.
Hairanlah kebanyakan wanita bangsawan terhadap
panggilan isteri al-Aziz itu. Mereka menyaksikan
suasana yang lain dari
biasanya. Ruangan istana, ketika itu, dihiasi dengan
penuh kemegahan. Wanita-wanita yang hadir duduk di
kerusi yang indah. Di
hadapan mereka masing-masing terdapat sepinggan buah
segar dan sebilah pisau pemotongnya.
Semua pandangan hadirin ditujukan kepada barang-barang
yang ada dalam ruangan istana itu. Semuanya diam
membisu, tak ada
yang berani berbicara dengan jelas tentang apa yang
tersimpan di dada dan mulailah isteri Aziz membuka
acara. Pembicaraan hanya
berkisar tentang buah dan masalah-masalah pesta ria
itu, sama sekali jauh dari masalah peristiwa dirinya
dengan Yusuf. Ia berkata
bahawa segala yang disediakannya kali ini dimaksudkan
sebagai kejutan bagi wanita-wanita itu.
Di antara wanita-wanita yang hadir dalam jamuan itu,
ada salah seorang yang menyindir. Dengan cara yang
cerdik, ia berkisah
kepada hadirin tentang seorang pemudi yang jatuh cinta,
dan mati dalam kesedihan kerana laki-laki yang
meminangnya tewas di
medan perang melawan musuh-musuh negerinya. Tetapi
isteri al-Aziz, dengan lebih cerdik, mengalihkan
pembicaraan ke
masalah-masalah lain.
Kemudian ia berkata kepada Yusuf, "Keluarlah
(tampakkanlah dirimu) kepada mereka."
Maka, keluarlah Yusuf dari tempatnya menuju jamuan
wanita-wanita itu. Betapa terkejutnya wanita-wanita itu
demi melihat
ketampanan Yusuf. Mereka sama tercengang dan
kehairanan. Dan tanpa disedari, mereka memotong
jari-jari mereka sendiri dengan
pisau. Mereka mengira sedang memotong buah, padahal
tidak dirasakan darah mengalir dari tangan mereka.
Lama-kelamaan mereka
baru ingat dan menyedari apa yang telah mereka lakukan,
kemudian berkata, "Maha Besar Allah. Ini bukanlah
manusia. Ia tiada lain
dari malaikat yang mulia".
Ketika itu wajah isteri al-Aziz menahan sedih dan duka.
Berubahlah wajah nan cantik itu menjadi marah. Ia
berkata seraya
menunjuk kepada Yusuf: "Itulah orang yang menyebabkan
aku di cela kerana (tertarik) kepadanya, dan
sesungguhnya aku telah
menginginkan dirinya, tetapi ia menolak. Dan (sekarang)
jika dia tidak mentaati apa yang kuperintahkan, nescaya
ia akan
dipenjarakan dan dia akan menjadi orang yang hina".
Yusuf mendengar apa yang dikatakan oleh isteri Aziz
dengan sikap yang tenang dan tabah, di hadapan
wanita-wanita kota. Ia pun
mendengar keinginan setiap wanita yang hadir,
sebagaimana keinginan isteri al-Aziz terhadapnya.
Sambil berlindung kepada Allah,
Yusuf berkata, "Tuhanku! Penjara lebih kusukai daripada
memenuhi ajakan mereka kepadaku. Dan jika tidak Allah
hindarkan aku dari
tipu daya mereka, tentulah aku tertarik kepada mereka.
Dan tentulah aku termasuk orang yang jahil". Allah
meneguhkan
hamba-hamba-Nya yang mukmin serta berlindung dan
berpegang dengan kebenaran yang diperintahkan oleh-Nya
..." Maka, Tuhan
memperkenankan doa Yusuf, dan Dia menghindarkan Yusuf
dari tipu daya mereka. Sesungguhnya Dialah Yang Maha
Mendengar,
Yang Maha Mengetahui".
Pulanglah wanita-wanita kota itu dengan tangan mereka
berlumuran darah. Mereka semua akhirnya sedar bahawa
Zulaiha, isteri
al-Aziz, terhalang cintanya kepada Yusuf. Yusuf,
kemudian meninggalkan ruangan itu dan pergi ke
kamarnya. Isteri al-Aziz tampak
duduk sambil berfikir. Ia memang menghendaki kehinaan
atas wanita-wanita yang menghina dirinya dengan Yusuf,
dan hal itu telah
selesai ia lakukan. Menanglah ia dengan suatu
kemenangan yang dapat menyembuhkan sakit hatinya.
Akan tetapi, setelah ia lebih dalam berfikir, ia sedari
bahawa perasaan yang ditanggungnya selama ini adalah
suatu sebab yang
berat baginya. Ia berbicara dengan dirinya sendiri:
"Yusuf telah menghindar dariku dua kali; sekali
dikamarnya dan sekali di hadapan
wanita-wanita kota. Sesungguhnya wanita-wanita kota itu
pun mencintai Yusuf sebagaimana aku, tetapi semuanya
tidak memperoleh
sesuatu darinya. Ancamanku kepadanya tidak ditakutinya.
Celakalah kamu meskipun aku mencintaimu."
Pergilah isteri al-Aziz menemui suaminya. Al-Aziz
kemudian bertanya tentang jamuan yang diadakannya.
Isterinya menjelaskan
bahawa jamuan itu hanya menambah keburukan baginya.
"Bagaimana hal itu boleh terjadi?" Tanya Al-Aziz.
"Jika Yusuf tidak disembunyikan dari seisi istana dan
kota, dia akan selalu berbicara tentang apa yang
memburukkanku..." Jawabnya.
Maka, mendekatlah al-Aziz kepada isterinya seraya
berkata. "Bagaimana engkau boleh rela dengan apa yang
memburukkanmu?"
Gementarlah badan wanita itu, dan kemudian berkata:
"Kalau begitu, masukkanlah Yusuf ke dalam penjara,
sehingga semua orang
akan melupakannya".
Al-Aziz menyetujui usul isterinya itu. Tak lama
kemudian, beberapa pengawal istana membawa Yusuf ke
penjara. Tatkala Yusuf
keluar dari pintu istana, isteri al-Aziz berdiri di
belakang jendela kamarya sambil memandanginya. Ia
merasa seolah-olah sebahagian
dari hatinya tercabut, meskipun dialah yang mendesak
suaminya agar memasukkan Yusuf ke dalam penjara.
Saban hari berlalu, dan kesedihan selalu mewarnai wajah
isteri al-Aziz, sementara suaminya hanya boleh melihat
hal itu dengan
sikap diam dan tidak kuasa berbuat sesuatu. Wanita itu
bertanya kepada dirinya sendiri: "Salahkah aku tatkala
menyuruh al-Aziz
memasukkan Yusuf ke dalam penjara? Ya, kuharamkan
diriku melihat Yusuf... "Sekali lagi ia berfikir dalam
kegelisahannya: "Tetapi,
apakah aku bersalah dalam urusan itu?" Ia menyanggah
dirinya sendiri untuk lepas dari azab, seperti seorang
dermawan yang haus,
tetapi tidak sanggup menjangkau air yang dipikul di
bahunya sendiri.
Hari demi hari, bulan demi bulan, dan tahun demi tahun
berjalan tanpa sunyi dari cerita isteri al-Aziz dengan
Yusuf. Pada suatu
hari, datanglah utusan raja, memerintahkannya untuk
datang keistana. Isteri al-Aziz sangat hairan, sebab
hal itu belum terjadi
sebelumnya. Ia bertanya kepada suaminya apa kira-kira
yang menyebabkan sang raja memanggilnya ke istana.
Al-Aziz menjawab, "Mungkin ada urusan yang berhubungan
dengan Yusuf."
Mendengar nama Yusuf disebut lagi, lenyaplah segala
dugaan. Tetapi, benarkah raja hanya berkehendak untuk
berbicara
dengannya tentang Yusuf?
Dengan penuh pertanyaan di benaknya, pergilah isteri
al-Aziz menuju istana raja. Di sana didapatinya
wanita-wanita yang telah
memotong tangannya beberapa waktu yang lalu, semuanya
menghadap Raja Mesir. Sementara itu, sang raja
memandangi wajah para
wanita itu satu persatu, kemudian mengajukan pertanyaan
singkat kepada wanita-wanita itu: "Bagaimana keadaanmu
ketika kamu
menggoda Yusuf untuk menundukkan dirinya (kepadamu)?"
Mereka menjawab serentak: "Kami tiada mendapati suatu
keburukan padanya (Yusuf)".
Tiba-tiba, tanpa diminta oleh Raja, isteri al-Aziz
berbicara. Ia merasa telah tiba saatnya untuk berbicara
terus terang perihal itu, agar
hilang semua beban dosa kerana tindakan aniayanya
terhadap Yusuf. Di hadapan Raja, wanita-wanita kota,
dan seluruh yang hadir di
situ, ia menerangkan: "Sekarang jelaslah kebenaran itu.
Akulah yang menggodanya untuk menundukkan dirinya
(kepadaku), dan
sesungguhnya dia termasuk orang-orang yang benar".
(Yusuf berkata), "Yang demikian itu agar dia (al-Aziz)
mengetahui bahawa sesungguhnya aku tidak berkhianat
kepadanya di
belakangnya, dan bahawasanya Allah tidak merelai
tipudaya orang-orang yang berkhianat. Dan aku tidak
membebaskan diriku (dari
kesalahan), kerana sesungguhnya nafsu itu selalu
menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi
rahmat oleh Tuhanku.
Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, Maha Penyayang".
Terjadi perbedaan pendapat tentang kehidupan perempuan
itu selanjutnya. Sebahagian orang berpendapat bahawa
sejak itu isteri
al-Aziz hidup bersama kesedihan dan putus asa kerana
ingatannya kepada Yusuf. Sebahagian yang lain
berpendapat bahawa isteri
al-Aziz itu akhirnya pindah ke suatu tempat yang jauh,
dan tiada khabar beritanya sama sekali. Yang jelas,
kehidupan wanita itu
menjadi terganggu, kerana cinta kepada Yusuf.
Namun ada yang mengisahkan setelah peristiwa itu
Zulaiha bertaubat kepada Allah SWT. Ketika Yusuf diutus
menjadi Rasul dan
menjadi penguasa menggantikan Al-Aziz, Nabi Yusuf
berjumpa dengan Zulaiha yang ketika itu keadaannya
sudah tua. Akhirnya Allah
menjadikan Zulaiha muda remaja dan berkahwin dengan
Nabi Yusuf. Maka jadilah Zulaiha sebagai seorang wanita
yang solehah yang
sentiasa beramal kepada Allah SWT.
(Kisah Zulaiha ini dapat di baca dalam Al-Quran surah
Yusuf ayat 21-53)
dipetik dari laman web Darul Nu'man

No comments:

Post a Comment